Al kisah tersebutlah perihal seorang raja yang gagah perkasa.
Dia memerintah sebuah negeri yang luas jajahannya serta ramai rakyat dan hamba sahaya.
Pada suatu hari Baginda Raja memanggil mengadap seorang hamba pekerja istana.
Nama hamba itu Pandak Setia.
Apabila sampai di hadapan Baginda Raja, berkatalah Pandak Setia, " Ampun tuanku, apa gerangan hamba diperintah kemari?"
Kata Baginda Raja, "Wahai Pandak Setia. Beta dihadiahkan seekor anak anjing. Hang tolong jaga boleh?"
Jawab Pandak Setia, " Ampun tuanku, rasa tak mampu patik nak jaga dia. Makan minum patik sendiri pun tak tentu lepas. "
Lalu berkata Baginda Raja, " Hang tak usah risau hal tu. Makan minum dan segala kebajikannya beta akan uruskan. Hang jaga dia saja, cuma yang beta mahu, sekali sekala mai lah repot kat beta keadaannya."
Tersenyum gembira Pandak Setia.
"Kalau macam tu, perintah dijunjung tuanku. Patik pergi dulu." kata Pandak Setia lalu beredar, " By the way. Dah ada nama ka anak anjing ni tuanku?"
"Ada. Nama dia Bob." kata Baginda Raja.
Maka mulai hari itu, Pandak Setia pun menjagalah Bob, si anak anjing diraja itu sebaiknya.
Kos makanan, tempat tinggal, grooming Bob semua ditanggung oleh Baginda Raja.
Sekali sekala Pandak Setia akan update istana mengenai keadaan Bob.
"Tuanku, Bob dah pandai berjalan."
"Tuanku, Bob dah pandai menyalak."
"Tuanku, bulu Bob makin lebat dan cantik."
"Tuanku, Bob dah pandai ligan anjing betina Permaisuri."
" Tuanku, malam tadi Bob tak balik. Tapi pagi ni dia dah sampai, nampak hepi saja."
"Tuanku, Girlfriend Bob mengandung...."
dan lain-lain.....
kadang2 laporan Pandak Setia ada juga berbunyi,
"Tuanku, duit yang lebih tu, patik buat rumah baru Bob."
"Tuanku, Bob suka manjat, patik guna sikit duit buat playground untuk dia."
dsbnya.
Baginda Raja sangat gembira menerima berita-berita ini dari Pandak Setia.
Suatu hari, terdetik di hati Baginda Raja untuk melihat Bob.
Sebab dah lama tak berjumpa.
Baginda Raja pun berangkat ke tempat penjagaan anjing kesayangannya itu.
Setiba Baginda Raja di sana didapati Pandak Setia tak ada.
Tapi tak mengapalah, dia raja, ini negara dia, dia boleh masuk mana-mana tempat yang dia suka.
Lalu Baginda Raja masuk dan didapatinya Bob sedang berehat di kandangnya.
Segak anjingnya tu. Sesuai dengan seekor binatang peliharaan yang dijaga dengan baik.
Baginda Raja ternampak ada juga gelanggang futsal yang dibina oleh Pandak Setia untuk Bob, walaupun Baginda sendiri tidak tahu samada Bob pandai main futsal ke tidak.
Baginda Raja terus mendekati Bob dan menghulur tangan untuk memeluk Bob.
Tiba-tiba tanpa disangka, Bob menerkam dan menggigit tangan Baginda Raja!
Terkejut sekali Baginda Raja, tidak disangkanya binatang kesayangannya yang dibesarkan dengan duit dan belas ehsannya itu berbuat sedemikian.
Berdarah tangan Baginda Raja. Sakitnya bukan kepalang.
Sungguh tidak mengenang budi binatang ini!
Baginda Raja menjadi teramat murka dan memerintahkan supaya Bob dibunuh.........
TAMAT
-------------------------------------------------------------------------
Demikianlah sedikit cerita rekaan untuk hari ini.
Apa pengajarannya?
Janganlah kita jadi Bob.
Yang hanya mengenal orang yang menjaganya, tetapi tidak kenal siapa sebenarnya yang membiayai kehidupannya.
Apakah Bob itu kita?
Apakah kita hanya kenal penjaga kita tetapi tidak kenal siapa yang memberi rezeki kepada kita?
Lalu perintahNya kita tidak tunaikan, malahan kekadang kita menentang terus hukum-hukumNya itu.
Kita "menggigit" Pemberi Rezeki tersebut. Walhal Dialah Allah, Tuhan kita.
Sebaliknya kita merasa terhutang budi kepada manusia, sedangkan dia hanyalah menunaikan tanggungjawab dan amanah Allah swt.
Wallahu'alam.
|
No comments:
Post a Comment